MENJEMPUT LAKNAT DARI TUHAN ; KELAHIRAN SEMULA SODOM DAN GOMORA VERSI MELAYU

Semenjak akhir-akhir ini hangat diperdebatkan di media sosial perihal unsur LGBT yang terdapat dalam filem yang diimport dari barat. Kemudian, timbul pula golongan oppourtunis yang mengambil peluang mempromosikan jualan mereka dengan mengangkat terma Gay dan Pondan bagi menarik perhatian ramai.

Saya cuba meringkaskan perbahasan ini, bagi meraikan sikap kita yang tidak berminat untuk membaca post yang panjang-panjang.

 

sodom-and-gomorrah

 

1. LGBT itu sendiri adalah akronim atau satu singkatan yang merujuk kepada Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender ataupun secara mudahnya ialah perbuatan Liwat (Gay) Sihaq (Lesbian) juga disebut sebagai Homoseksual. Naluri seks mereka lebih cenderung kepada sesama jenis. Istilah LGBT ini mula digunapakai di awal tahun 90an. Kumpulan ini menggunakan bendera pelangi sebagai simbol keragaman dalam seksualiti insan. Komuniti LGBT menuntut kebebasan daripada didiskriminasi dengan beranggapan ia merupakan hak asasi manusia (HAM). Setakat ini terdapat 22 buah negara yang mengiktiraf kewujudan kumpulan ini dan melegalkan perkahwinan sejenis.

2. Perbuatan Homoseksual ini sinonim dengan kaum Nabi Luth, iaitu kaum Sodom yang dilaknat Tuhan kerana perbuatan mereka yang dimurkai Allah, lalu mereka diazab dengan gempa bumi disertai dengan angin kencang dan hujan batu (batu daripada api) yang menghancurkan serta-merta keseluruhan kaum sodom dan penghuninya. Oleh kerana seringkali ke Laut Mati, menjadikan kisah Kaum Nabi Luth ini sangat berbekas di hati kerana melihat sendiri di depan mata kesan azab yang ditimpakan kepada kaum tersebut. Kisah mereka ini dirakamkan di dalam Al-Quran .

3. Masihkah kita ingat, 6 tahun yang lalu negara kita digemparkan dengan kehilangan pelajar perubatan Malaysia di Ireland. Ahli keluarganya lebih lapan kali berulang alik pergi mencari Alif Alfian Rosli namun gagal. Pelajar tajaan Petronas ini gagal dihubungi malah langsung tidak berhubung dengan keluarganya. Akhirnya punca segala kehilangan pelajar pintar ini terdedah apabila dikhabarkan beliau sudah berkahwin dengan seorang lelaki di Dublin. Bayangkan bagaimana perasaan ibu bapa pelajar ini yang terlalu risau akan kehilangan anak selama 8 tahun tetapi digemparkan dengan berita yang menghayat hati ini.

4. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang menjadi LGBT ?
Ada yang memberikan alasan, ia adalah satu bentuk penyakit mental disorder. Tetapi ianya disangkal oleh seorang Ahli Neurologi, Dr. Ryu Hasan mengatakan tidak ada istilah sembuh bagi orang yang memiliki orientasi seksual lesbian gay, dan biseksual. Menurutnya lagi, LGBT bukanlah penyakit ataupun gangguan jadi tidak perlu disembuhkan. Menurut ahli psikologi LGBT ini terbentuk kerana persekitaran hidup, trauma akibat pengalaman tertentu, lemahnya didikan agama dan juga genetik. Dengan bimbingan dan terapi dapat mengembalikan jati diri mereka yang sebenar.

5. Sudah jelas Islam melarang perbuatan ini.
Tapi, bagaimana dengan agama lain ?
Di dalam agama kristian juga mengutuk perbuatan keji ini dan perbuatan itu dikira berdosa menurut Bible. Perbuatan homoseksual, di dalam Bible dengan tegas melarang manusia untuk melakukan tindakan tersebut karena merupakan perbuatan yang dilaknat oleh Tuhan. Ia disebutkan di dalam kitab Imamat 18:22 ; 20:13

6. Proses normalisasi yang sedang berlaku di negara kita harus dibendung dari awal, sebelum ianya lebih melarat dan sukar untuk ditangani. Jangan tunggu sehingga Nasi sudah menjadi bubur baru kita mahu bertindak. Di Indonesia, hasil kajian statistik mendapati pertumbuhan jumlah LGBT mengalami peningkatan sebesar 37% semenjak 2009-2012. Pemerintah harus memainkan peranan bagi menangani gejala ini dengan melakukan kempen kesedaran dan pendidikan sejak dari awal bangku sekolah lagi. Ibu bapa dan keluarga juga turut bertanggungjawab untuk memantau aktiviti anak-anak di rumah.

Sama-sama kita pelihara negara kita dari malapetaka ini sebelum datangnya azab Allah sepertimana Tsunami yang pernah menimpa di Acheh satu ketika dahulu. Ia juga bertepatan dengan kaedah syarak yang menuntut untuk kita menutup pintu-pintu kejahatan sekaligus menepati Maqasid Syarak itu sendiri.

Saya tidak menghukum golongan ini, tetapi mengajak untuk kembali kepada fitrah kejadian Tuhan yang sempurna pada diri kita. Manusia sifatnya mudah lupa, saya hanya ingin kembalikan ingatan agar menyedari kesalahan yang dilakukan.

Saya menutup rencana ini dengan sepotong ayat Al-Quran buat renungan bersama

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan peliharalah dirimu dari pada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.
(Al-Anfaal :25)

Advertisements

Lawrence Of Arabia Pencetus Revolusi Arab

Bila berjalan di sekitar tanah arab ini, ada beberapa perkara yang menjadi persoalan dan tanda tanya kepada saya berkaitan sejarah pembentukan negara-negara arab. Antaranya ada satu bendera yang menyerupai bendera negara Jordan, tetapi yang ini tanpa bintang. Dan, bila ke satu kawasan pelancongan Wadi Rum, pastinya akan singgah di satu checkpoint yang mempunyai tugu peringatan seorang tentera British yang dikenali sebagai ‘Lawrence Of Arabia’.

Jadi, saya terpanggil untuk mengkaji dan menggali sejarah-sejarah yang terdapat di negara ini.

Revolusi Arab tercetus bermula pada tahun 1916, dipimpin oleh Syarif Husain Bin Ali dari kabilah Bani Hashim yang merupakan antara kabilah terbesar dan dipandang mulia di tanah arab. Pemberontakan ini berlaku kerana bangsa arab yang berada di bawah pemerintahan Daulah Uthmaniyyah ketika itu, ingin menuntut kemerdekaan bagi membentuk satu kesatuan negara arab bermula dari Syria hingga ke Yaman.

Menurut sumber, antara punca berlakunya pemberontakan ini adalah kerana timbul perasaan tidak puas hati kepada kepimpinan Turki Muda ketika itu yang dikatakan melanggar nilai-nilai Islam, pendapat lain mengatakan ia adalah kerana cetusan daripada semangat nasionalisme bangsa arab yang tidak mahu duduk di bawah pemerintahan bangsa Turki.

Ketika itu pemerintahan Daulah Uthmaniyyah sedang di ambang kejatuhan, kerana berlakunya krisis-krisis dalaman dan juga serangan-serangan dari pihak luar, terutamanya British. British telah menghantar seorang pegawai tenteranya, Kapten Thomas Edward Lawrence bagi membantu dan manjadi penasihat untuk menjayakan revolusi tersebut.

 

lawrence-1

Thomas Edward Lawrence (1888-1935)

 

TE Lawrence digelar sebagai Lawrence Of Arabia kerana kefasihannya bertutur di dalam bahasa arab, beliau juga sangat arif dalam ilmu demografi dan arkeologi di tanah arab. Ada pendapat yang mengatakan beliau telah memeluk Islam, kerana sering dilihat menghadiri pengajian agama, memakai jubah dan memberikan salam seperti muslim. Tetapi, bukti tersebut tidak kuat dan tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Beliau telah berjaya memujuk bangsa arab agar menggunakan senjata moden yang dibekalkan bagi melawan Turki. Seterusnya, bagi memutuskan hubungan negara arab dengan Daulah Uthmaniyyah, beliau mencadangkan agar dimusnahkan laluan kereta api Hijaz yang merupakan laluan menghubungkan Turki dengan negra-negara di bawah pemerintahannya. Kereta api itu juga digunakan oleh Jemaah Haji untuk ke Mekah.

Pada 1917, Lawrence mengadakan pakatan dengan arab badwi yang diketuai oleh ‘Awdah untuk mengusir kerajaan Uthmaniyyah dari ‘Aqabah. ‘Aqabah merupakan lambang kekuatan Uthamniyyah di Jazirah Arab, kerana ia merupakan laluan dan akses utama perdagangan ke Mesir.

Seterusnya, Lawrence berusaha untuk memisahkan Dimasyq dari jajahan Uthmaniyyah. Pada tahun 1918, berlaku pertempuran di Dimasyq yang menyebabkan Syria telah terpisah dari Turki dan jatuh ke tangan Arab. Kerana jasanya itu, beliau telah diberikan penghargaan dan pingat jasa kerana telah membantu dalam misi Revolusi Arab.

Setelah selesai misinya itu, beliau pulang ke kampung halaman. Beliau dilantik menjadi duta dan banyak mambantu hubungan diplomasi diantara Inggeris dengan negara-negara arab yang baru membangun pada ketika itu. Lawrence merupakan simbol Inggeris yang berasimilasi dengan budaya arab sehingga beliau dikenali di rantau arab sehingga kini.

‘Haram’kan diri untuk minta duit daripada mak

“Banyak duit zabidi belanja mak itu ini, macam orang dah bekerja.” kata mak membuka bicara setelah kami selesai solat maghrib berjemaah.

Aku tersenyum mendengar ungkapan mak sambil memikirkan apa jawapan yang sesuai untuk aku jawab pada mak.

“Ini rezeki Allah telah peruntukkan untuk mak, sepertimana Allah beri rezeki untuk mak membesarkan kami 11 beradik dahulu.” Jawabku pada mak.

“Zabidi cuma minta mak sentiasa doakan Allah permudahkan segala urusan yang dilakukan dan mak redha, itu sudah cukup.” Pintaku pada mak.

Kelihatan air mata mak bertakung di matanya seakan terharu dengan ucapanku, tetapi cuba ditahan. Aku terus memeluk erat mak dan kami saling berpelukan.

Inilah satu-satunya Permata Hati yang tinggal untuk saya mencurah kasih setelah ayah tiada, saya berjanji pada diri untuk berbakti dan membahagiakan sebelum dia memejamkan mata.

——————————————————————–

Saya masih ingat waktu saya meluahkan hasrat untuk menyambung pengajian di Jordan kepada mak. Mak terasa berat hati kerana risau memikirkan biaya pengajian saya di sana nanti. Sementara ayah pula sedang sakit ketika itu, pastinya memerlukan belanja yang banyak untuk merawat sakitnya itu.

Tapi, saya tetap bertekad untuk mencapai impian saya mendalami ilmu agama di bumi anbiya’. Saya meyakinkan mak yang saya akan berusaha sendiri untuk menampung biaya pengajian di sana.

Kata orang, yang datang belajar di sini kalau tanpa tajaan, pastinya anak orang berada yang mampu menampung kos sara hidup yang tinggi di sini.

Tapi, itu tidak mematahkan semangat saya untuk menuntut ilmu di sana. Ulama’ dahulu lebih besar cabaran yang mereka hadapi.

Mungkin juga dengan sebab didikan ayah dahulu yang melatih kami adik beradik untuk berdikari bagi mendapatkan duit, menjadikan saya berani untuk mengambil cabaran ini.

Cara ayah didik kami, kalau mahukan duit belanja kerja dahulu. Diberi kami modal, hasil keuntungan itulah duit belanja untuk kami. Barulah rasa bagaimana susahnya ayah mencari duit.

Jika dihitung perbelanjaan sepanjang hampir 5 tahun saya di sini, rasanya boleh beli sebiji kereta idaman Toyota Vios model terbaru secara cash.

Jika ditanya kepada saya dari mana saya dapat duit untuk menampung perbelanjaan yang serba serbi mahal di sini. (Kalau nak tau cas GST di negara ini 16%, tukaran matawang terkini sebanyak RM6.25 untuk sedinar) Susah untuk saya jawab soalan ini. Saya cuma katakan ia dari Allah.

Tapi, bila saya jawab begitu ramai yang tak puas hati dengan jawapan yang diberikan.

Orang lain, bila kehabisan duit tunggu hujung bulan pihak tajaan masukkan duit atau minta mak ayah masukkan duit. Tapi, saya hanya mampu berdoa dan tawakkal tunggu rezeki dari Allah.

Jangan salah sangka, bukannya saya bertawakkal tunggu rezeki datang bergolek tanpa berusaha. Maksudnya, bila saya usahakan buat bisnes dapat sambutan, cuba memohon bantuan zakat diterima. Saya usahakan juga asbab rezeki itu. Tapi, selebihnya Allah yang beri.

Ok, saya bagi contoh antara bentuk rezeki yang saya terima.

1. Ada satu hari selepas keluar dari masjid, saya terasa lapar dan ingin membeli makanan, tapi nngak punya uang..tiba-tiba datang seorang pakcik tua berambut putih dari belakang menegur saya dan bertanya ” enta maliziy ?”. “Naam” jawab saya. Lalu diberikan sejumlah wang kepada saya. “Leish ?” tanya saya kenapa. Lalu dijawab kerana dia sukakan pelajar Malaysia. (sampai sekarang pikir pakcik ni malaikat ke tiba-tiba muncul)

2. Saya memakai sebuah telefon bimbit yang dibeli dengan harga yang murah untuk berjimat, cukup hanya ada aplikasi yang membolehkan untuk berinteraksi dan berhubung. Pada satu malam di bulan ramadhan selepas solat tarawih, saya singgah di rumah kawan untuk moreh. Lalu, saya dikejutkan dengan satu kotak hadiah yang berisi telefon bimbit baru dihadiahkan oleh kawan-kawan. Sampai sekarang masih guna phone ni.

3. Baru-baru ini, semasa mendapat berita pemergian arwah ayah..dalam hati rasa sedih tak dapat balik untuk melihat wajah ayah buat kali terakhir. Kebetulan waktu tu tengah dalam program dan saya jadi pengarah, saya balik kejap buat solat ghaib dan kembali meneruskan program macam biasa. Tiba-tiba kawan saya datang bagitahu suruh siap-siap untuk balik malam tu jugak, sebab mereka dah belikan tiket untuk saya dan hantar saya sampai ke airport.

Ada lagi cerita yang tak dapat saya selitkan di sini, tunggulah nanti kalau rajin saya tulis buku. (Tak tahu bila keluar buku tu..hehe)

 

17353408_1285402461496517_9162717187634465061_n

 

Hari ini, saya perhatikan anak-anak muda yang baru hendak memulakan hidup terbeban dengan berbagai bentuk hutang. Hutang belajar, kereta, kahwin.

Dalam saya masih belajar, dan tidak mempunyai pendapatan sebegini, saya telah pun melangsungkan perkahwinan semasa di tahun kedua. Dan saya juga telah pun memiliki kereta terpakai sendiri yang dibeli secara tunai. Semuanya tanpa berhutang.

Dan Alhamdulillah, saya juga telah terpilih untuk menunaikan haji tahun depan.

Antara amalan yang saya lazimi sehingga kini ialah saya akan telefon dan bertanya khabar kepada mak seminggu sekali atau dua kali. Tetapi, selepas pemergian ayah saya telefon mak hampir setiap hari supaya mak tidak terasa sunyi.

Dulu semasa mula-mula kerja, saya berikan semua gaji pertama saya dan belikan hadiah kepada mak. Selepas itu untuk bulan-bulan seterusnya, saya bahagikan duit gaji kepada 3. Pertama, untuk mak kedua, tabung haji ketiga, simpanan untuk belajar.

Sewaktu belajar,oleh kerana tak mampu beri duit kepada mak, saya ‘haram’kan diri saya untuk minta duit daripada mak. Sudah terlalu banyak duit mak habiskan untuk membesarkan saya dahulu.

Doa dan redha mak, saya hanya bermodalkan kedua ini sahaja untuk ke mana-mana. Selagi saya berada di bumi Allah, di situ pasti ada rezeki untuk saya.

Begitulah, kalau kita menjaga dan menyenangkan hati mak ayah kita, insya Allah akan dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya untuk kita dari jalan yang tak kita sangka.

Kepada yang masih punya ibu, ambil peluang untuk taat dan berbakti kepada mereka sementara mereka masih ada, kerana ia juga akan menjadi pemberat mizan kita di akhirat kelak.

Mak kita bukannya mahu duit kita sangat pun, mereka hanya mahukan belaian dan perhatian daripada kita sahaja, sepertimana mereka membelai kita sewaktu kecil dahulu.

Kalau nak katakan ini sebagai plan kewangan,
iya, inilah salah satu rahsia plan kewangan saya. Skim pelaburan dunia akhirat. Makin banyak kita memberi (terutama ibu dan keluarga) semakin banyak lagi Allah akan beri.

Prinsip kewangan saya begini :

“Gusti iku sambaten naliko sira lagi nandhang kasangsaran. Pujinen yen sira lagi nampa kanugrahaning Gusti.”

Pengalaman Buat 4 Kerja Dalam Satu Masa

Saya terbaca satu artikel yang mengatakan kadar pengganguran di negara kita meningkat sehingga 3.4%. Ikut kiraan nisbah populasi sekarang, hampir SEJUTA rakyat Malaysia yang menggangur.

Adakah tidak ada peluang pekerjaan atau lambakan pekerja asing yang memenuhi semua sektor pekerjaan di Malaysia ?

Atau kita sendiri yang terlalu memilih kerja dan menunggu kerja yang sepadan dengan sijil kelayakan kita ?

Saya faham kita sudah berhabis banyak wang dan masa untuk mendapatkan sijil bagi mendapatkan pekerjaan yang selayaknya untuk kita.

Zaman sekarang oleh kerana terlalu ramai lambakan graduan, untuk mendapatkan sesuatu jawatan itu peluangnya agak tipis dan persaingan tinggi.

Awak tu baru fresh graduate, lepas tu berangan nak dapat kerja ofis, jawatan tinggi, bergaji besar, memiliki kereta mewah.

Nanti baru lah boleh tunjuk kat kawan-kawan dan orang kampung yang awak tu dah berjaya.

Lupakanlah kawan..

Buatlah apa sahaja kerja, walaupun tidak sepadan dengan sijil yang kita miliki. Ambil pengalaman dahulu dan cipta peluang kerjaya sendiri.

Saya sendiri pernah membuat 4 kerja sekaligus dalam satu masa.

1. Bekerja di pasar segar
2. Bisnes marketing
3. Guru mengaji
4. Menjaga gerai jualan

Setiap kerja yang saya lakukan mempunyai objektif tersendiri, tidak hanya untuk kumpul duit semata-mata. Selain menimba pengalaman, cuba untuk merasai kesusahan mencari rezeki.

Saya bercita-cita untuk membuka syarikat perniagaan sendiri, jadi saya fikir saya perlu bermula dari bawah. Oleh kerana itu saya sanggup berkuli.

Setiap pagi saya akan bangun seawal jam 3.30 pagi, naik motor meredah kesunyian pagi ke pasar. Jualan di pasar sehingga jam 10 pagi.

Di pasar kebanyakan yang menjadi pekerja di situ orang bangladesh. Mereka sangat berdisplin, rajin dan amanah bekerja. Tak hairan lah, yang menjadi supervisor di situ pun orang bangladesh.

Di pasar ini, saya melatih diri untuk tahan lasak kerana terpaksa bangun awal pagi dan angkat barang berat-berat.

Sebelah petang pula, saya buat bisnes pemasaran produk kesihatan ke kedai-kedai di sekitar bandar untuk periksa dan tambah stok.

Bisnes ini meningkatkan lagi skill dalam berinteraksi dan mengenali berbagai ragam pelanggan serta menambahkan lagi jaringan rakan niaga.

Sebelah malam pula, saya mengajar mengaji di sebuah pusat pengajian Al-Quran. Saya memegang kelas remaja berumur 13-16 tahun.

Mengajar di sini, selain sebagai menjalankan tanggungjawab sosial, saya dapat meningkatkan lagi skill mengajar.

Di hujung minggu, saya bekerja menjaga gerai jualan di Masjid Negeri Shah Alam. Dari pagi hingga malam.

Antara sebab saya memilih bekerja di situ kerana faktor suasana yang menenangkan, dan juga dapat menjaga solat di awal waktu. Adakalanya dapat juga berjumpa dan mendengar ceramah daripada asatizah yang hebat-hebat.

Hasil pendapatan saya pada ketika itu, mencapai RM2500-3000 sebulan. Cukuplah bagi orang bujang pada waktu tu.

Waktu itu saya memang berjimat, tak makan di luar, bawak bekal. Tidak menyewa di luar, duduk dengan keluarga. Pakai phone cikai takde kamera selfie. Ke hulu hilir naik motor kapcai.

Selepas beberapa bulan, bila saya rasa dah cukup duit dan pengalaman, terfikir lah untuk buka syarikat perniagaan sendiri.

Tapi, takdir dan aturan Allah lebih baik buat saya ketika itu untuk saya sambung belajar. Dan, saya tak menyesal dengan keputusan saya.

Bagi saya, ilmu itu adalah satu pelaburan. Jika kita kaya tanpa ilmu akan kecundang juga nanti.

GAGAL SEKALI TAK BERMAKNA GAGAL SELAMANYA

Ramai yang mengangkat cerita orang cemerlang dalam pelajaran, tapi orang yang tidak cemerlang, disisihkan dan tidak mendapat tempat di mata masyarakat.

Sudah la gagal, masyarakat pula memandang sepi dan tidak memberikan harapan kepada mereka. Seolah-olahnya jika kamu gagal dalam pelajaran, kamu gagal dalam hidup. Dipandang seperti sampah masyarakat. Sadisnya bagai kaca terhempas ke batu.

Stigma ini perlu diubah. Sepatutnya orang yang tidak bernasib baik dalam pelajaran, diberikan galakan dan harapan agar mampu bangkit semula daripada kegagalan.

Saya juga pernah kecundang dalam pelajaran di zaman persekolahan. Pernah beberapa kali pindah sekolah kerana membuat masalah di sekolah.

Muka inilah yang sering dipanggil ke bilik guru disiplin. Oleh kerana sering kali naik ke pentas perhimpunan, satu sekolah mengenali saya. Bukannya diberi anugerah, tapi didenda di hadapan pelajar.

Pernah saya cuba lari dari sekolah, melalui jalan hutan kelapa sawit untuk ke bandar. Hanya makan buah kelapa sawit dan minum air sungai untuk survive. Tetapi, akhirnya tertangkap juga dan dihantar pulang.

Setiap sekolah yang saya masuk semuanya tidak bertahan lama, kerana sering buat masalah. Mak ayah pun jadi malu dengan perangai anaknya ini.

Akhirnya saya tidak bersekolah, bila duduk di kampung pula semakin menjadi-jadi perangai dan sukar dikawal. Rasa hidup semakin bebas, tak fikir dosa pahala.

“Budak ni selalu buat masalah kat sekolah dulu”

“Macam ni lah budak tak sekolah, menyusahkan mak bapak.”

Itulah bentuk cercaan dan kejian yang pernah saya terima dahulu. Terasa begitu kejamnya dunia. Ibarat ayam tak patuk, itik tak sudu.

 

17352387_1287379457965484_6094336251834883839_n

 

Sampai satu masa, kesedaran mula menyapa. Mula timbul sesalan dalam diri. Akal kembali berfikir dengan waras.

Waktu itu, saya beruzlah beberapa purnama. Menjauhkan diri dari dunia luar yang penuh dengan maksiat. Tercari-cari tujuan hidup, mengumpul semangat untuk kembali bangkit.

Syukur saya dikurniakan mak ayah yang sentiasa berada di sisi untuk menyokong saya di saat jatuh, dan memimpin tangan saya untuk keluar dari lembah kebinasaan.

Dari situ saya mula mengorak langkah, dan tidak lagi menoleh ke belakang. Memang tidak mudah, tapi inilah harga yang perlu dibayar untuk tebus semula kesilapan yang telah saya lakukan dahulu.

Saya mula mengikuti kelas-kelas agama. Hampir setiap malam saya akan keliling dari masjid ke masjid untuk mengikuti kuliah agama.

Tapi, saya rasa tak cukup dengan kuliah-kuliah agama di masjid, saya terfikir untuk sambung belajar. Tapi, saya dah lama tinggal pelajaran dan tak ada sijil untuk mengaji di universiti.

Saya daftarkan diri saya untuk menduduki SPM secara persendirian di sebuah sekolah. Kemudian, saya ambil tuisyen persendirian seminggu sekali dengan beberapa orang guru.

Saya juga tebalkan muka dan ketepikan ego duduk bersama pelajar-pelajar yang lebih muda jarak umur dari saya untuk saya ikuti tuisyen dan seminar SPM percuma yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Di celah-celah kesibukan bekerja, saya curi juga masa untuk buka buku. Sampai tertidur-tidur atas buku, dek kepentan bekerja di waktu siang. Kakak saya lah yang tolong buatkan jadual dan banyak pantau saya belajar.

Tinggal masa 6 bulan sahaja baki waktu yang saya ada sebelum tiba tarikh peperiksaan. Ujian percubaan pun saya tak ambil. Saya pergi dengan berbekalkan doa dan redha mak sahaja, lalu saya bertawakal pada Allah.

Bila tiba waktu keputusan keluar, Alhamdulillah semua subjek saya lulus dan ada juga yang dapat A. Terus saya sujud syukur dengan keputusan yang diterima.

Sebelum saya sambung ke Jordan, saya merasakan bahasa arab dan ilmu syariah saya masih lemah. Lalu saya mengikuti pengajian STAM selama setahun di sebuah kolej di Ipoh.

Pertama kali baca kitab arab, juling juga mata nak membacanya tanpa baris. Mujur, kawan-kawan banyak menbantu. Adakalanya tertidur dalam kelas sebab tak faham, terutamanya ilmu mantiq. Subjek killer. haha.

Bila dapat keputusan STAM, Alhamdulillah Tuhan bagi lagi nikmatNya kepada saya lulus lagi satu ujian. Waktu itu, bingung juga nak memilih samada nak sambung ke Jordan atau Mesir.

Selepas berbincang dan istikharah, saya buat keputusan untuk ke Jordan walaupun kawan-kawan beritahu kos belajar di sana mahal. Tapi, sistem di Jordan lebih baik buat saya yang kurang berdisplin dan masih lemah bahasa arab.

Saya juga merancang untuk melengkapkan hafazan Al-Quran, bagi memenuhi hasrat arwah ayah yang ingin ada seorang daripada anaknya yang hafiz Al-Quran.

Kekadang terbawa-bawa juga perangai lama, tapi bila ikut usrah ni terkawal lah sikit. Ada kawan yang nasihat dan tegur.

Saya sering bagi semangat dan dorongan kepada kawan-kawan yang senasib dengan saya dahulu untuk tidak putus asa walaupun pernah gagal dalam pelajaran. Jangan pernah putus asa dari rahmat Allah.

Kejayaan merupakan suatu yang subjektif bagi setiap orang mengikut ukuran keupayaan dan kelebihan masing-masing, tetapi kejayaan yang hakiki apabila kita memanfaatkan kelebihan yang ada untuk manusia lain.

“Sebaik baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” Maksud hadis

Saya berpegang dengan prinsip ‘Better late than never’ dan juga ayat Al-Quran 3:159

DARI INTROVERT KE EXTROVERT

Bagi yang tak mengenali, mungkin menyangka saya seorang yang sombong kerana kurang bersembang dengan orang.

Tetapi, sebenarnya tidak begitu teman-teman. Itu adalah karekter diri saya sebagai seorang Introvert.

Di sini saya kongsikan ciri-ciri seorang Introvert. Mungkin anda juga mempunyai karakter yang sama.

1. Tidak suka berbual kosong

2. Tidak suka berada di tempat orang ramai

3. Bukan anti-sosial tetapi selektif dalam memilih kawan

4. Lebih suka keluar dengan orang yang rapat.

5. Suka melihat dan merenung alam sekitar

6. Pendengar yang baik

7. Berhati-hati bila berbicara

8. Lebih cenderung untuk menulis

9. Perancang yang baik

10. Sahabat yang setia

Disebabkan itu, saya cuba mengasah bakat saya dalam bidang penulisan. Mungkin inilah caranya untuk saya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Bagi membuktikan yang saya benar-benar serius, saya sanggup membayar yuran yang mahal untuk mengikuti kursus penulisan dan membeli buku-buku rujukan di DBP.

Dan, saya juga telah menyumbangkan tulisan dalam 2 buah buku. Tahun ini, merancang untuk menerbitkan sendiri sebuah lagi buku.

Tapi, dalam sesetengah perkara memerlukan saya untuk mengubah karekter saya kepada Extrovert.

Kerana apabila kita ingin berdakwah, perlu berjumpa dengan orang, kena berucap di hadapan khalayak ramai.

Jadi, saya cabar juga diri saya untuk ke hadapan.

Saya beranikan diri untuk membuat pembentangan dan berkhutbah dalam bahasa arab di dalam kelas. Kebiasaannya pelajar melayu lebih suka senyap sahaja dalam kelas.

Meskipun, nahu tunggang langgang tapi mereka tidak mengutuk, malah memberikan semangat dan tepukan. Pensyarah pun memberikan pujian dan markah tambahan. Alhamdulillah.

Saya juga menawarkan diri untuk menyampaikan sebuah talk kepada komuniti melayu pencerahan mengenai ‘Kesesatan Syiah’.

Ya Allah, gugupnya hanya Tuhan yang tahu. Sampai tersasul menyebut kerana terlalu cuak. Tapi, isteri banyak bantu dan memberikan tunjuk ajar kerana dia juara debat semasa di sekolah dulu.

Tak kiralah anda seorang Introvert ataupun Extrovert, pandai-pandailah sesuaikan diri dalam dakwah.

Tarbiyah bisa membentuk diri kita menjadi seorang yang fleksibel bagi mencapai objektif dakwah.

AS Dalang Utama Di Sebalik Kejatuhan Shah Iran

Gelombang kebangkitan Islam mula dirasai di negara-negara Islam di timur tengah. Iran antara negara yang dilihat menjadi model contoh penegakan negara Islam. Ini kerana, kebanyakan pemimpin Islam pada ketika itu bersifat diktator.

Pada sekitar tahun 80 an, ramai umat Islam mengagumi kejayaan Khomeini melakukan revolusi menjatuhkan rejim Shah Reza Pahlevi seterusnya mendirikan negara Islam. Anak-anak yang lahir di zaman itu diberi nama Khomeini ataupun Ayatoullah sempena dengan nama tokoh revolusi Iran itu. Lebih-lebih lagi dengan perwatakannya yang kelihatan zuhud dan sentiasa mengenakan jubah seperti ulama’ menambahkan ketaksuban kepada pemimpin revolusi itu.

Iran Pra Revolusi

Sebelum tercetusnya revolusi, Iran diperintah oleh seorang pemimpin diktator bernama Shah Muhammad Reza Pahlevi atau digelar sebagai Shah Iran. Meskipun, Iran merupakan negara pengeluar minyak terbesar ketiga dunia, namun rakyat hidup dalam keadaan menderita dan melarat di bawah pemerintahan diktator itu yang bergantung sepenuhnya dengan AS.

Bagi menjaga kepentingan politik dan mengelakkan usaha menggugat jawatan beliau, ditubuhkan satu pasukan Polis Rahsia Diraja atau dikenali sebagai SAVAK. Polis rahsia ini bertanggungjawab untuk menghadapi dan membenteras para pembangkang dan penentang kerajaan.

Presiden AS ketika itu, Jimmy Carter yang berasal dari parti demokrat mempromosikan demokrasi dan melaungkan kebebasan hak asasi manusia kepada negara-negara di bawah telunjuk AS. Lalu, Carter menasihatkan Shah Iran untuk memberikan sedikit ruang kebebasan kepada rakyatnya. Oleh kerana AS merupakan sekutu kuat Iran, dan terikat dengan banyak perjanjian kontrak dengan AS, Shah Iran terpaksa akur dan menurut nasihat Carter.

Dengan terbukanya ruang kebebasan yang diberikan kepada rakyat Iran, kelompok penentang Shah Iran dari pelbagai kumpulan dan parti cuba memanfaatkan peluang yang ada itu untuk melepaskan diri dari cengkaman kekuasaan rejim Shah Iran. Mereka harus bertindak segera sebelum keadaan kembali kepada asal.

Setelah berbincang, mereka bersetuju mengangkat Khomeini yang ketika itu berada di Iraq untuk memimpin gerakan revolusi ini, kerana percaya dengan keikhlasan beliau dalam memperjuangkan kebebasan rakyat dan tidak memiliki kepentingan untuk memerintah.

 

Mohammad_Reza_Pahlavi
Mohammad Reza Pehlavi atau Shah Iran

 

AS berpaling tadah 

Setelah melihat Shah Iran tidak mempunyai apa-apa kepentingan lagi kepada AS, kerana mendapati Shah Iran menghidap penyakit kanser yang menyebabkan jangka hayatnya tidak lama. Carter mula mencari pengganti yang boleh menjadi sekutu kepada AS, bagi menjaga kepentingan mereka di negara itu.

Bagi menggulingkan pemerintahan Shah Iran, puak pemberontak memerlukan bantuan daripada AS. Bantuan yang diberikan bukanlah percuma, sebagai membalas budi, Khomeini dan puak pemberontak harus memberikan kesetiaan kepada mereka. Begitulah kelicikan politik AS.

Rakyat begitu marah dengn Shah Iran kerana beliau terlalu gelojoh untuk membangunkan negara dengan membuka pintu kepada pelabur asing, sehingga rakyat sendiri tertindas. Budaya asing dan gejala sosial juga merebak sehingga merosakkan budaya dan adat tempatan dengan munculnya pusat-pusat hiburan dan pergaulan bebas di kalangan anak muda.

Shah Iran juga berpandangan Islam akan membantutkan hasratnya untuk memodenkan negara mengikut acuan barat. Lalu beliau cuba memadamkan imej Islam dengan menukarkan kalendar Hijriyyah dengan kalendar parsi. Kemudian, beliau juga cuba menghidupkan kembali adat kuno parsi yang bertentangan dengan Islam.

Kronologi Revolusi

Para penentang Shah Iran sedar yang mereka tidak akan berjaya menggulingkan pemimpin diktator itu tanpa kerjasama dari kumpulan dan parti-parti politik yang lain. Lalu, mereka mengadakan pakatan dengan tujuan yang sama, membebaskan diri dari cengkaman kuku besi Shah Iran. Walaupun masing-masing menyimpan hasrat untuk memerintah, tetapi perkara lebih utama adalah menawan pusat pentadbiran negara daripada Shah Iran terlebih dahulu.

Berikut antara parti-parti dan kumpulan yang bertanggungjawab menggerakkan rakyat untuk turut sama turun ke jalanan mengadakan revolusi menggulingkan Shah Iran.

  1. Parti Nasional (الجبهة الوطنية) di bawah pimpinan Dr. Mushaddiq.
  2. Gerakan Perjuangan Rakyat (نهضة المقاومة الشعبية), yang didirikan oleh ‘Imam’ Az Zinjani dan Ir. Bazarkan setelah keduanya memisahkan diri dari Parti Nasional.
  3. Mujahidin Kholq (مجاهدين خلق), yaitu parti politik yang didirikan oleh Musa Khayabani, Mas’ud Rajawi, dan lain-lain.
  4. Tokoh-tokoh agama seperti Ayatullah Ath Thaliqani, Imam As Sayyid Hasan Al Qummi, Imam Asy Syaikh Bahauddin Al Mahlaaty, dan Imam Al Khaqani. Mereka semuanya tidak sepandangan dengan Khomeini dan pengikutnya baik dalam pemikiran mahupun politik.
  5. Pengikut Dr. Shariati. Mereka merupakan golongan akademik yang bersemangat untuk melakukan tajdid Islami. Mereka semua telah didoktrin oleh pemikiran Shariati.
  6. Khomeini dan pengikutnya yang terdiri dari tokoh-tokoh agama baik di dalam mahupun di luar Iran.
  7. Golongan-golongan ‘kiri’, termasuk di antaranya Parti Komunis Tawdah.

Peranan Khomeini membakar semangat dengan merakam ucapan dan pidatonya dengan kaset, lalu disebarkan rumah ke rumah bagi mengajak rakyat untuk turun melawan kezaliman Shah Iran, membangkitkan lagi semangat rakyat untuk turut sama berdemo.

Perhimpunan rakyat yang asalnya untuk meraikan upacara keagamaan, berubah menjadi cubaan menggulingkan kerajaan Shah Iran. Mahasiswa di Qom juga terlibat sama. Dibantu juga dengan tentera yang berpihak kepada rakyat.

Shah Iran sudah tidak ada penyokong, semuanya telah lari menyelamatkan diri terlebih dahulu. keluarga beliau melarikan diri ke Paris, manakala beliau melarikan diri ke mesir.

Pasca Revolusi Iran
Setelah rakyat berjaya menjatuhkan Shah Iran, beliau melarikan diri dari negara tersebut. Puak pemberontak harus memilih siapakah di kalangan mereka yang akan mengisi kerusi pemerintahan pada waktu itu. Khomeini tidak menunjukkan tanda berminat untuk memerintah, lalu jawatan itu diserahkan kepada kepada Bazarkan dan memberinya kebebasan memilih menter-menterinya sendiri.

Khomeini kembali ke Qom, memberikan kuliah-kuliah seperti biasa. Tetapi ia punya rencana yang lebih licik. Beliau menyerahkan pemerintahan kepada Bazarkan, tetapi meletakkan pengikutnya di pos-pos penting di dalam kerajaan seperti Tentera, Mahkamah, Stesen radio dan TV. Dengan kuasa yang dimilikinya, Beliau telah membuat pertuduhan dan membawa Bazarkan dan pengikutnya ke muka pengadilan. Akhirnya, mereka dijatuhkan hukuman.

Rakyat terkejut dengan tindakan yang dikenakan kepada Bazarkan dan mengetahui itu semua adalah rancangan daripada Khomeini. Memang beliau mempunyai agenda politik tersendiri. Akhirnya, rakyat menyedari wajah sebenar Khomeini yang berselindung di sebalik imej warak dan zuhudnya itu.