7 Financial Mukmin

Saya banyak mengikuti seminar dan membaca bacaan mengenai kewangan, hartanah bagi memantapkan ilmu pengurusan kewangan. Tips dan input yang diberikan sangat bagus, ada juga yang saya amalkan. Contohnya, cara membeli kereta, simpanan, takaful, cara membeli rumah.

Tetapi, saya terfikir adakah ilmu ini tidak diajarkan di dalam Al-Quran ? Adakah Islam tidak menyentuh bab kewangan ? Saya cuba mencari jawapan dan akhirnya saya temuinya di dalam Al-Quran. Lalu, saya namakan nota ini sebagai 7 Financial Mukmin. Kerana, bagi saya ia adalah asas perancangan kewangan bagi setiap muslim. Saya tidak akan mengulas panjang, di dalam nota ini disertakan pautan buat rujukan.

  1. ZAKAT

Seperti yang kita semua sedia maklum, zakat merupakan rukun ketiga di dalam Islam selepas Ibadah Solat. Pentingnya tuntutan zakat ini sebagai penyucian harta pendapatan yang kita perolehi. Yelah, mana tahu waktu bekerja tu ada yang terculas ke, buat bisnes part time waktu pejabar ke, terclaim lebih duit syarikat ke.

Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. umat islam mula meninggalkan kefardhuan zakat, Sehinggakan Sayidina Abu Bakar telah melancarkan perang terhadap golongan ini. Ini menunjukkan zakat ini sangat penting di sisi Islam. Saya sendiri pun menerima bantuan zakat bagi melancarkan pengajian saya di sini. Terima kasih kepada pengeluar zakat J

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka (umat Islam) sebagai sedekah, yang dengannya (ia dapat) menyucikan dan membersihkan mereka,” (At-Taubah: 103)

Bagi mendapatkan maklumat mengenai jenis-jenis, berapa jumlah haul zakat boleh rujuk di laman sesawang lembaga zakat di pautan berikut : http://www.zakatselangor.com.my/

  1. NAFKAH

Sebagai seorang lelaki, kita mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak dan isteri, bagi yang sudah berkahwin. Seterusnya, memberi nafkah kepada orang tua dan keluarga kita. Sedekah yang paling utama adalah kepada diri, isteri dan keluarga.

“Kaum laki-laki adalah pemimpin bagi kaum perempuan, oleh karena Allah telah melebihkan sebagian mereka(laki-laki) atas sebagian yang lain (wanita) dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” (An-Nisa:34).

Ayat Al-Quran ini menjadi dalil kepada kewajipan memberikan nafkah. Suami harus juga memberikan nafkah meskipun isteri punya pendapatan sendiri. Bahkan, disebutkan juga di dalam hadis yang membenarkan untuk isteri mengambil wang suami mengikut keperluannya. Berapakah jumlah nafkah tidak ditetapkan, yang disebutkan menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan.

  1. ILMU

Jangan ingat menuntut ilmu ni zaman sekolah atau universiti sahaja, habis sekolah terus tinggal semua buku-buku yang pernah dipelajari dahulu. Sedangkan, kewajipan menuntut ilmu itu dari buaian hingga ke liang lahad.

 Allah akan mengangkat derajat orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang berilmu beberapa derajat“. (Al-Mujadalah : 11)

Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim”. (HR. Ibnu Majah)

Zaman serba canggih sekarang ini, banyak teknologi yang kita boleh manfaatkan untuk menimba ilmu. Kalau tak sempat ke majlis ilmu, atau membaca buku, boleh menonton video di youtube, atau dengar audio books sambil-sambil memandu. Jika tak mampu beli kitab kerana harganya yang mahal, boleh download pdf dan simpan di dalam tablet. Tetapi yang paling baik adalah menadah kitab atau bertalaqqi sendiri dengan guru.

  1. TAKAFUL

Zaman sekarang ni dinasihatkan untuk ambil takaful. Sebab apa ? sebab dengan gaya hidup kita sekarang ni memang menempah bermacam-macam penyakit. Kau tu sekali makan memang pelahap tak ingat dunia ya ampun. Mana taknya, kat media sosial orang duk buat review tunjuk tempat makan best-best. Aku yang duduk kat perantauan ni mengaga je lah tengok orang upload makan sedap-sedap kat fb. Huhu.

“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perseteruan”. (Al-Maidah :2)

Takaful tu sendiri bermaksud tolong-menolong. Bila kita ditimpa kecelakaan, pihak takaful akan tampung kos rawatan daripada caruman kita bulan-bulan. Tapi, kena bezakan takaful dengan insurans konvensional.Nak tau lebih lanjut, boleh baca kat sini : http://www.takaful-ikhlas.com.my/ms/profil-korporat/konsep-manfaat-takaful

Harap syarikat takaful bagi lah sikit royalti sebab promosi takaful dalam tulisan saya ni. Hehe.

  1. TABUNG HAJI

Bagi yang belum membuka akaun dan daftar haji, nasihat saya eloklah berbuat sekarang. Kalau melengah lagi, jawabnya lagi 80-100 tahun akan datang baru kau dapat naik haji. Itu pun kalau sempat dik oi. Ibu bapa dinasihatkan untuk buka akaun dan daftarkan anak-anak anda sejak mereka kecil lagi.

“Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah karena Allah. ” (Al-Baqarah : 196)

Menabung dalam tabung haji pun bagus juga kerana dividen yang diberikan sebanyak 5 % dan 1.5% bonus haji. Tabung haji juga telah membayar zakat simpanan bagi pihak pendeposit. Untuk info lanjut tuan-puan boleh layari laman sesawang rasmi Tabung Haji di pautan : http://www.tabunghaji.gov.my/

  1. RIBA’

Di dalam Al-Quran sudah jelas larangan mengambil Riba’. Sehinggakan Allah mengisytiharkan perang kepada orang yang mengambil Riba’.

“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.” (Al-Baqarah :276)

Riba’ bermaksud tambahan atau bunga daripada hutang ataupun jual beli lebih daripada sepatutnya. Contohnya, kita meminjam RM10, tetapi kita perlu bayar semula dengan bunga sebanyak RM20. Itu diharamkan dalam Islam. Faedah daripada bank konvensional juga dikira riba’.  Sekarang ni dengan hasil usaha pejuang ekonomi Islam, sudah banyak bank-bank yang bertukar kepada sistem perbankan Islam. Tiada alasan lagi untuk kita terlibat dengan riba’.

Boleh rujuk di pautan ini untuk mendapatkan pencerahan berkenaan riba’ : http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/

  1. HUTANG

Islam membenarkan untuk kita berhutang, tetapi perkara ini harus di ambil perhatian dengan disunatkan untuk mencatat hutang bagi mengelakkan terlupa. Juga disunatkan didatangkan 2 orang saksi. Perkara ini disebutkan di dalam Al-Quran.

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu’amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya.” (Al-Baqarah :282)

Tapi, masalah orang kita ni bila dah berhutang, buat-buat hilang ingatan pulak. Terpaksa lah si pemberi hutang yang datang menuntut semula hutang. Kadang-kadang tu mampu je nak lunaskan hutang, tapi boleh pulak dibelanjakan dengan melancong, shopping. Dan, kita terlalu bermudah-mudah untuk berhutang, beli perabot, tv, motor, sedangkan kalau tak mampu tak payah la beli.

Banyak hadis yang menceritakan akibat daripada orang yang tidak melunaskan hutang

“Semua dosa orang yang mati syahid Akan diampuni (oleh Allah), kecuali hutangnya.” (H. R. Muslim)

Jiwa seorang mukmin masih bergantung dengan hutangnya hingga dia melunasinya.” (H. R. Tirmidzi)

Apa yang saya kongsikan ini bukanlah rekaan saya, malah ia adalah petikan yang saya keluarkan daripada Al-Quran dan Hadis. Saya hanya menyusun menjadi satu nota buat panduan kita bersama. Ini juga merupakan pelan kewangan yang saya amalkan selama ini.

Sebelum kita bercita-cita untuk menjadi jutawan, memilki rumah dan kereta. Eloklah kita sama-sama perhatikan perkara-perkara asas ini supaya rezeki kita berkat dan menyelamatkan kita dunia dan akhirat.

Jika anda merasakan ilmu ini bermanfaat, silakan SHARE dengan izin daripada saya. 🙂

7 Financial Mukmin

BELAJAR TAWAKKAL DARI SEEKOR BURUNG

Ibadah yang difahami kebanyakan daripada kita ialah ibadah yang berbentuk zahir, seperti Solat, Zakat, Haji, Membaca Al-Quran.

Tetapi, ramai yang terlepas pandang tentang ibadah hati. Apakah ibadah hati itu ? Ia adalah perintah Allah yang disebutkan di dalam Al-Quran, tetapi perlaksanaannya tidak nampak pada pandangan mata manusia.

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali Imran:159)

Diantara ibadah hati itu adalah, sepertimana yang disebutkan oleh Al-Imam Al-Ghazali iaitu Taubat, Sabar, Syukur, Redha, Tawakkal, Mujahadah, Raja’, Khauf, Mahabbah, di dalam ilmu Tasawwuf ia disebut sebagai Maqam Ma’rifat.

Kali ini, saya akan cuba mengupas berkenaan sifat Tawakkal. Saya cuba kongsikan pada perspektif saya hasil daripada pengalaman dan juga pengamatan saya.

Ramai beranggapan rezeki itu apa yang di tangannya.
Sedangkan, rezeki itu merupakan rahsia Allah yang kita tidak tahu bagaimana percaturannya. Dia pemilik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia boleh menaikkan dan menjatuhkan seseorang dalam sekelip mata.

Oleh kerana kita hidup di zaman moden, menjadikan jiwa kita terlalu menebal dengan materialistik. Jiwa sentiasa gelisah bila tiada duit di tangan, hati terlalu risau akan menempuh masa depan yang masih tidak pasti. Dengan kenaikan kos sara hidup dan keperluan yang lain, menambahkan lagi tekanan hidup.

Semua perkara kita akan berkira. Pakai kereta mewah, tetapi bila keluar makan dengan kawan, waktu bayar semua buat tak paham. Tinggal di rumah besar, tapi tak pernah jemput ibu ayah di kampung datang ke rumah. Mampu makan di restoran mewah, tapi bila ada peminta sedekah, nak hulurkan seringgit pun payah. Aduh ! kemewahan telah menghancurkan kemanusiaan.

Ditambah pula, sifat kebergantungan kita kepada sijil, kepada majikan, menjadikan sifat kebergantungan kita kepada Allah semakin luntur. Ini kerana, kita berasa selesa dan menganggap hidup kita telah terjamin dengan apa yang kita ada.

Si penuntut ilmu, belajar dan mengejar sijil dengan niat untuk memperoleh jawatan tinggi. Tidak terlintas untuk menyumbang ilmunya itu untuk manfaat ramai. Semuanya untuk kepentingan diri semata-semata.

Anak muda pula, bekerja keras untuk mencapai impian memiliki kereta mewah dan mengumpul kekayaan sehingga tidak mengambil kira sumber diperolehi dari jalan yang halal mahupun haram. Tidak terfikir pula untuk diinfakkan hartanya itu untuk insan yang lebih memerlukan melalui zakat ataupun sedekah.

Ibu bapa pula, terlalu sibuk bekerja di luar rumah. Tak cukup dengan kerja di pejabat, terpaksa pula melakukan kerja tambahan bagi menampung keperluan hidup keluarga, sehingga mengabaikan anak-anak di rumah. Tujuan asal mencari rezeki untuk membahagiakan keluarga telah dilupakan.

 

www.hdnicewallpapers.com

 

Saya ada terbaca satu status di media sosial, yang mempersoalkan kepada mereka yang memilki ramai anak sebagai menyusahkan negara, atas faktor bebanan hidup dan kemelesetan ekonomi. Beliau menasihati supaya dilakukan perancangan keluarga dan meletakkan had anak sepertimana di negara China.

Lihatlah, bagaimana orang tua kita dahulu membesarkan kita dengan adik-beradik yang ramai, saya sendiri ada 11 beradik. Manakala, ibu saya ada 14 beradik. Walaupun, dahulu gaji ayah kita tidaklah sebesar gaji yang kita perolehi sekarang. Tetapi, Allah telah menjamin rezeki setiap orang. Diberikan ilham untuk mendapatkan rezeki buat keluarganya.

Hikmah mengapa junjungan mulia Rasulullah S.A.W. dibesarkan di dalam keadaan yatim piatu, adalah untuk mendidik nabi agar sentiasa bergantung dan menyerahkan segalanya hanya pada Allah. Lantaran itu, baginda berani menyampaikan dakwah kepada kaumnya walau dihina, dicaci dan difitnah. Kerana baginda yakin Tuhan sentiasa ada bersama-Nya.

Di dalam sebuah hadis nabi mengajak kita untuk melihat bagaimana tawakkal dari seekor burung

Dari Umar bin Al-Khatab R.A., dari Rasullulah S.A.W. bersabda:

“Seandainya kalian sungguh sungguh bertawaakal kepada allah, sesungguhnya allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana allah memberikan rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan perutnya yang lapar lalu kembali lagi tetapi dalam keadaan kenyang.” (HR. Imam ahmad, Tirmidzi, ibnu hibban serta Al hakim)

Orang yang bertawakal tidak akan berkeluh kesah dengan apa sahaja, ujian yang ditimpakan kepadanya. Dia tidak akan beputus asa jika gagal, dia akan berusaha dan terus usaha sehingga Tuhan berikannya kejayaan. Dia juga akan sedar harta yang dimiliki hanyalah pinjaman, lalu ia kongsikan hartanya itu kepada manusia lainnya.

Tawakal ini tidak akan diperolehi tanpa latihan dan juga keyakinan yang tinggi. Justeru itu, letakkan keyakinan kita sepenuhnya kepada Tuhan, pasti tak mengecewakan !
.

Taubat Seorang Gay ; Surat Terbuka Buat Pengamal LGBT

Saya tujukan tulisan saya ini kepada saudara-saudara saya yang terlibat dengan Gay, Lesbian, Bisexual, Transgender. Saya berpesan atas dasar kejadian kita yang sama dan akan kembali bertemu Tuhan yang sama.

1. Kenal Diri, Kenal Tuhan

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” [At-Tin :4]

Saya buka dengan satu petikan dari Al-Quran yang menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. Yang membezakan kita dengan makhluk Allah yang lain adalah dikurniakan kepada kita akal untuk berfikir. Perintah untuk berfikir ini diulang sebanyak 100 kali di dalam Al-Quran. Apa yang perlu difikirkan ? memikirkan kejadian Tuhan yang terdapat di sekeliling kita. Pernahkah kamu terfikir mengapa Allah menciptakan setiap kejadian berpasang-pasangan ? Malam pasangnya siang, hitam lawannya putih. Bayangkan bagaimana jadinya dunia ini malam sahaja tanpa adanya siang. Porak peranda bukan ? Mengapa lubang hidung kita terletak ke bawah, bukan di atas ? Memudahkan untuk kita korek hidung (haha..kelakar tak?) Mengapa jari kita tidak sama panjang ? Semua itu ada fungsinya tersendiri. Setuju ?

“Wahai manusia, bertaqwalah kamu sekalian kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu satu diri, lalu Ia jadikan daripadanya jodohnya, kemudian Dia kembangbiakkan menjadi laki-laki dan perempuan yang banyak sekali.” [An Nisaa :1].

Mengapa diubah kejadian Allah yang sudah sempurna ? Kamu katakan yang kamu terperangkap dalam tubuh lelaki, lalu kamu membuat pengubahsuaian tubuh yang dipinjamkan Tuhan. Saya berikan satu analogi, apa akan terjadi jika kereta Kancil diubahsuai enjinnya dengan enjin Nissan GTR ? Mau meletop kereta Kancil kerana tidak sepadan enjin dengan body kereta yang ringan. Begitu juga, jika kita memilki kereta BMW tetapi bila rosak kita hantar ke bengkel kereta Proton, mekanik pun garu kepala nak membaiki kerana bukan kepakarannya. Jadi, pointnya di sini adalah setiap ciptaan itu ada fungsi masing-masing, dan rujuklah dengan panduan yang telah diberikan oleh pencipta kita iaitu Al-Quran bagi menjamin keselamatan dunia dan akhirat.

Kamu kata itu naluri kamu, yang cenderung untuk menyukai makhluk sejenis dengan kamu. Kalau begitu, bolehkah saya memukul kamu kerana karekter saya yang panas baran dalam diri. Sifat pemarah itu boleh dikawal dengan latihan, begitulah juga dengan kecenderungan seks kamu itu. Sebenarnya itu adalah keinginan nafsu dalam diri kita, yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Tak usah la diikutkan kehendak nafsu tu, kelak kan merana. Perangi ia dengan mujahadah, senjatanya adalah berdoa agar diberikan taufiq dan hidayah dari Allah.

 

taubat
Tuhan sentiasa menanti-nanti taubat dari hamba-Nya

2. Rahmat Tuhan Itu Luas

Selagi namanya manusia, pastinya tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Kau Ulama’ ke, Imam Muda ke, Menteri ke, Pemandu teksi ke, Mekanik ke, Guru ke, semua orang ada dosa yang dilakukan. Dosa mengumpat, dengki, mengecam di fb, stalk instagram awek, mengambil riba, pecah amanah, curi gula-gula kat kedai runcit wak ribut, semua itu dosa yang tak terlihat di mata manusia. Namun, tercatat oleh malaikat di dalam buku amalan masing-masing.

Masyarakat mengutuk dan mencaci kamu kerana dosa yang kamu lakukan nampak pada jasad tubuh kamu. Namun sebaliknya yang mencaci kamu itu dalam keadaan di mulutnya sedang menyedut asap rokok sambil berdating dengan awek. Ya, manusia tak pernah gagal untuk melihat kesalahan orang lain.

Kamu tahu tak kisah seorang lelaki di zaman dahulu yang telah membunuh 99 orang lalu ingin bertaubat ? Kisahnya begini, lelaki itu berjumpa dengan seorang rahib dan menyatakan keinginannya untuk bertaubat.

“Taubat kamu tak akan diterima Tuhan” jawab sang rahib.

Oleh kerana berang dengan jawapan yang diberikan oleh rahib, lelaki itu terus membunuh rahib tersebut. Menjadikan bilangan mangsa bunuhnya genap 100 orang. Lalu, dia mencari pula orang alim lain bagi meminta pandangan. Berjumpalah dengan seorang alim dan beliau menyatakan hasratnya kepada orang alim tersebut.

“Aku telah membunuh 100 orang, adakah taubatku diterima ?”

“Ya, siapakah yang akan menghalang seseorang daripada bertaubat ?” Jawab si alim.

“Sekarang kamu pergilah ke sebuah kota ini, yang mana penduduknya semua beribadah kepada Allah. Tinggalkanlah tempat kamu yang penuh dengan maksiat itu.” Sambung orang alim itu lagi.

Setelah mendengar penjelasan daripada orang alim itu, Lelaki itu terus beredar menuju ke tempat yang disebutkan. Ditakdirkan, dalam perjalanan maut datang menjemputnya dan beliau pun meninggal di situ.

Datanglah malaikat Rahmat dan malaikat Azab untuk membawa roh lelaki tersebut. Namun, berlaku pertelingkahan diantara kedua malaikat siapa yang lebih berhak. Diutuskan malaikat yang lain untuk menghakimi permasalahan tersebut. Malaikat memerintahkan supaya diukur jarak jasad lelaki itu dengan Kota orang soleh. Ternyata, setelah diukur jasadnya hampir dengan kota itu. Maka, malaikat Rahmat yang lebih berhak mengambil lelaki tersebut.

Lihat, sebesar manapun kesalahan yang kamu lakukan, Jika kamu bertaubat dan kembali kepada Tuhan, pasti Dia akan menerima kembali hamba-Nya. Tinggalkan persekitaran yang membuatkan kamu hanyut dengan maksiat. Binalah kehidupan yang baru, ramai di luar sana akan bersama kamu untuk berubah.

Mungkin ada sesetangah yang beranggapan, dia melakukan maksiat tapi hidupnya senang lenang, hidup mewah berkat rezeki ‘halal’ yang diperolehinya. Saya ingin jelaskan, pertamanya kita beruntung kerana menjadi umat nabi Muhammad S.A.W. kerana nabi kita telah memohon untuk ditangguhkan azab kepada kita. Keduanya kepada pelaku maksiat, Allah akan bagi sebanyak-banyak kemewahan agar dia tertipu dengan kemewahan itu sehingga melupakan pemberi rezeki, lalu layaklah dia diseksa di akhirat nanti. Sepertimana Kisah Qarun yang lalai setelah dilimpahi kemewahan. Ini disebut sebagai Istidraj.

3. Sokongan Masyarakat

Di barat, banyak kes bunuh diri akibat tekanan jiwa dan tidak tahan dengan perangai manusia yang gemar menghukum berbanding menyokong. Mereka hilang tempat bergantung, lalu mengambil jalan mudah dengan menamatkan riwayat hidup mereka dengan membunuh diri. Tapi, itu bukanlah jalan penyelesaiannya. Malah, menggandakan dosa yang sedia ada. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Saya ada mendengar luahan dari seorang kawan yang dirahsiakan identitinya, mereka terjebak dengan kancah maksiat ini kerana krisis dalam keluarga, trauma dari pengalaman lalu. Jika kita terus juga menghukum, ke mana lagi tempat untuk mereka berlindung ?

Saya mengambil kesempatan ini, untuk menyeru seluruh masyarakat supaya menghulurkan tangan untuk turut sama membantu saudara kita yang telah tersasar, dengan memimpin mereka kembali ke jalan yang benar. Saya pernah mengalami situasi begini, dicaci dan dipandang lekeh oleh masyarakat atas kenakalan saya dahulu, jadi saya amat memahami tekanan yang dialami oleh mereka.

Teguran ini terpakai kepada semua golongan, samada bekas mat rempit, bohsia, mat pet, kaki gam, bekas banduan, perogol bersiri, mak nyah, gangster, raver, hipster, hakikatnya kita semua adalah pendosa, apabila bertaubat mereka telah suci di sisi Tuhan.

Akhir sekali, kita semua pasti akan dibangkitkan bersama di padang mahsyar nanti. Disebutkan di dalam Al-Quran, berbahagialah bagi orang yang menerima kitab amalannya dari sebelah kanan (Ashabul Yamin) dan celakalah bagi orang yang menerima dari sebelah kiri (Ashabul Syimal) bersama-samalah kita berlumba membuat amal kebaikan. Semoga kita tidak menjadi orang yang muflis di akhirat nanti kerana amal-amal pahala dipindahkan kepada orang yang kita telah kita zalimi.

Saudaramu yang berdosa,
Zabidi Azhar

P/S : Jangan biarkan mesej ini berlalu begitu sahaja, kirimkan kepada 7 orang, anda akan mendapat berita gembira dalam masa 7 hari ! (gurau saja..haha)

#saynotoLGBT
#kembalikepdafitrah
#umatbersaudara

MENJEMPUT LAKNAT DARI TUHAN ; KELAHIRAN SEMULA SODOM DAN GOMORA VERSI MELAYU

Semenjak akhir-akhir ini hangat diperdebatkan di media sosial perihal unsur LGBT yang terdapat dalam filem yang diimport dari barat. Kemudian, timbul pula golongan oppourtunis yang mengambil peluang mempromosikan jualan mereka dengan mengangkat terma Gay dan Pondan bagi menarik perhatian ramai.

Saya cuba meringkaskan perbahasan ini, bagi meraikan sikap kita yang tidak berminat untuk membaca post yang panjang-panjang.

 

sodom-and-gomorrah

 

1. LGBT itu sendiri adalah akronim atau satu singkatan yang merujuk kepada Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender ataupun secara mudahnya ialah perbuatan Liwat (Gay) Sihaq (Lesbian) juga disebut sebagai Homoseksual. Naluri seks mereka lebih cenderung kepada sesama jenis. Istilah LGBT ini mula digunapakai di awal tahun 90an. Kumpulan ini menggunakan bendera pelangi sebagai simbol keragaman dalam seksualiti insan. Komuniti LGBT menuntut kebebasan daripada didiskriminasi dengan beranggapan ia merupakan hak asasi manusia (HAM). Setakat ini terdapat 22 buah negara yang mengiktiraf kewujudan kumpulan ini dan melegalkan perkahwinan sejenis.

2. Perbuatan Homoseksual ini sinonim dengan kaum Nabi Luth, iaitu kaum Sodom yang dilaknat Tuhan kerana perbuatan mereka yang dimurkai Allah, lalu mereka diazab dengan gempa bumi disertai dengan angin kencang dan hujan batu (batu daripada api) yang menghancurkan serta-merta keseluruhan kaum sodom dan penghuninya. Oleh kerana seringkali ke Laut Mati, menjadikan kisah Kaum Nabi Luth ini sangat berbekas di hati kerana melihat sendiri di depan mata kesan azab yang ditimpakan kepada kaum tersebut. Kisah mereka ini dirakamkan di dalam Al-Quran .

3. Masihkah kita ingat, 6 tahun yang lalu negara kita digemparkan dengan kehilangan pelajar perubatan Malaysia di Ireland. Ahli keluarganya lebih lapan kali berulang alik pergi mencari Alif Alfian Rosli namun gagal. Pelajar tajaan Petronas ini gagal dihubungi malah langsung tidak berhubung dengan keluarganya. Akhirnya punca segala kehilangan pelajar pintar ini terdedah apabila dikhabarkan beliau sudah berkahwin dengan seorang lelaki di Dublin. Bayangkan bagaimana perasaan ibu bapa pelajar ini yang terlalu risau akan kehilangan anak selama 8 tahun tetapi digemparkan dengan berita yang menghayat hati ini.

4. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang menjadi LGBT ?
Ada yang memberikan alasan, ia adalah satu bentuk penyakit mental disorder. Tetapi ianya disangkal oleh seorang Ahli Neurologi, Dr. Ryu Hasan mengatakan tidak ada istilah sembuh bagi orang yang memiliki orientasi seksual lesbian gay, dan biseksual. Menurutnya lagi, LGBT bukanlah penyakit ataupun gangguan jadi tidak perlu disembuhkan. Menurut ahli psikologi LGBT ini terbentuk kerana persekitaran hidup, trauma akibat pengalaman tertentu, lemahnya didikan agama dan juga genetik. Dengan bimbingan dan terapi dapat mengembalikan jati diri mereka yang sebenar.

5. Sudah jelas Islam melarang perbuatan ini.
Tapi, bagaimana dengan agama lain ?
Di dalam agama kristian juga mengutuk perbuatan keji ini dan perbuatan itu dikira berdosa menurut Bible. Perbuatan homoseksual, di dalam Bible dengan tegas melarang manusia untuk melakukan tindakan tersebut karena merupakan perbuatan yang dilaknat oleh Tuhan. Ia disebutkan di dalam kitab Imamat 18:22 ; 20:13

6. Proses normalisasi yang sedang berlaku di negara kita harus dibendung dari awal, sebelum ianya lebih melarat dan sukar untuk ditangani. Jangan tunggu sehingga Nasi sudah menjadi bubur baru kita mahu bertindak. Di Indonesia, hasil kajian statistik mendapati pertumbuhan jumlah LGBT mengalami peningkatan sebesar 37% semenjak 2009-2012. Pemerintah harus memainkan peranan bagi menangani gejala ini dengan melakukan kempen kesedaran dan pendidikan sejak dari awal bangku sekolah lagi. Ibu bapa dan keluarga juga turut bertanggungjawab untuk memantau aktiviti anak-anak di rumah.

Sama-sama kita pelihara negara kita dari malapetaka ini sebelum datangnya azab Allah sepertimana Tsunami yang pernah menimpa di Acheh satu ketika dahulu. Ia juga bertepatan dengan kaedah syarak yang menuntut untuk kita menutup pintu-pintu kejahatan sekaligus menepati Maqasid Syarak itu sendiri.

Saya tidak menghukum golongan ini, tetapi mengajak untuk kembali kepada fitrah kejadian Tuhan yang sempurna pada diri kita. Manusia sifatnya mudah lupa, saya hanya ingin kembalikan ingatan agar menyedari kesalahan yang dilakukan.

Saya menutup rencana ini dengan sepotong ayat Al-Quran buat renungan bersama

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan peliharalah dirimu dari pada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.
(Al-Anfaal :25)

Lawrence Of Arabia Pencetus Revolusi Arab

Bila berjalan di sekitar tanah arab ini, ada beberapa perkara yang menjadi persoalan dan tanda tanya kepada saya berkaitan sejarah pembentukan negara-negara arab. Antaranya ada satu bendera yang menyerupai bendera negara Jordan, tetapi yang ini tanpa bintang. Dan, bila ke satu kawasan pelancongan Wadi Rum, pastinya akan singgah di satu checkpoint yang mempunyai tugu peringatan seorang tentera British yang dikenali sebagai ‘Lawrence Of Arabia’.

Jadi, saya terpanggil untuk mengkaji dan menggali sejarah-sejarah yang terdapat di negara ini.

Revolusi Arab tercetus bermula pada tahun 1916, dipimpin oleh Syarif Husain Bin Ali dari kabilah Bani Hashim yang merupakan antara kabilah terbesar dan dipandang mulia di tanah arab. Pemberontakan ini berlaku kerana bangsa arab yang berada di bawah pemerintahan Daulah Uthmaniyyah ketika itu, ingin menuntut kemerdekaan bagi membentuk satu kesatuan negara arab bermula dari Syria hingga ke Yaman.

Menurut sumber, antara punca berlakunya pemberontakan ini adalah kerana timbul perasaan tidak puas hati kepada kepimpinan Turki Muda ketika itu yang dikatakan melanggar nilai-nilai Islam, pendapat lain mengatakan ia adalah kerana cetusan daripada semangat nasionalisme bangsa arab yang tidak mahu duduk di bawah pemerintahan bangsa Turki.

Ketika itu pemerintahan Daulah Uthmaniyyah sedang di ambang kejatuhan, kerana berlakunya krisis-krisis dalaman dan juga serangan-serangan dari pihak luar, terutamanya British. British telah menghantar seorang pegawai tenteranya, Kapten Thomas Edward Lawrence bagi membantu dan manjadi penasihat untuk menjayakan revolusi tersebut.

 

lawrence-1

Thomas Edward Lawrence (1888-1935)

 

TE Lawrence digelar sebagai Lawrence Of Arabia kerana kefasihannya bertutur di dalam bahasa arab, beliau juga sangat arif dalam ilmu demografi dan arkeologi di tanah arab. Ada pendapat yang mengatakan beliau telah memeluk Islam, kerana sering dilihat menghadiri pengajian agama, memakai jubah dan memberikan salam seperti muslim. Tetapi, bukti tersebut tidak kuat dan tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Beliau telah berjaya memujuk bangsa arab agar menggunakan senjata moden yang dibekalkan bagi melawan Turki. Seterusnya, bagi memutuskan hubungan negara arab dengan Daulah Uthmaniyyah, beliau mencadangkan agar dimusnahkan laluan kereta api Hijaz yang merupakan laluan menghubungkan Turki dengan negra-negara di bawah pemerintahannya. Kereta api itu juga digunakan oleh Jemaah Haji untuk ke Mekah.

Pada 1917, Lawrence mengadakan pakatan dengan arab badwi yang diketuai oleh ‘Awdah untuk mengusir kerajaan Uthmaniyyah dari ‘Aqabah. ‘Aqabah merupakan lambang kekuatan Uthamniyyah di Jazirah Arab, kerana ia merupakan laluan dan akses utama perdagangan ke Mesir.

Seterusnya, Lawrence berusaha untuk memisahkan Dimasyq dari jajahan Uthmaniyyah. Pada tahun 1918, berlaku pertempuran di Dimasyq yang menyebabkan Syria telah terpisah dari Turki dan jatuh ke tangan Arab. Kerana jasanya itu, beliau telah diberikan penghargaan dan pingat jasa kerana telah membantu dalam misi Revolusi Arab.

Setelah selesai misinya itu, beliau pulang ke kampung halaman. Beliau dilantik menjadi duta dan banyak mambantu hubungan diplomasi diantara Inggeris dengan negara-negara arab yang baru membangun pada ketika itu. Lawrence merupakan simbol Inggeris yang berasimilasi dengan budaya arab sehingga beliau dikenali di rantau arab sehingga kini.

‘Haram’kan diri untuk minta duit daripada mak

“Banyak duit zabidi belanja mak itu ini, macam orang dah bekerja.” kata mak membuka bicara setelah kami selesai solat maghrib berjemaah.

Aku tersenyum mendengar ungkapan mak sambil memikirkan apa jawapan yang sesuai untuk aku jawab pada mak.

“Ini rezeki Allah telah peruntukkan untuk mak, sepertimana Allah beri rezeki untuk mak membesarkan kami 11 beradik dahulu.” Jawabku pada mak.

“Zabidi cuma minta mak sentiasa doakan Allah permudahkan segala urusan yang dilakukan dan mak redha, itu sudah cukup.” Pintaku pada mak.

Kelihatan air mata mak bertakung di matanya seakan terharu dengan ucapanku, tetapi cuba ditahan. Aku terus memeluk erat mak dan kami saling berpelukan.

Inilah satu-satunya Permata Hati yang tinggal untuk saya mencurah kasih setelah ayah tiada, saya berjanji pada diri untuk berbakti dan membahagiakan sebelum dia memejamkan mata.

——————————————————————–

Saya masih ingat waktu saya meluahkan hasrat untuk menyambung pengajian di Jordan kepada mak. Mak terasa berat hati kerana risau memikirkan biaya pengajian saya di sana nanti. Sementara ayah pula sedang sakit ketika itu, pastinya memerlukan belanja yang banyak untuk merawat sakitnya itu.

Tapi, saya tetap bertekad untuk mencapai impian saya mendalami ilmu agama di bumi anbiya’. Saya meyakinkan mak yang saya akan berusaha sendiri untuk menampung biaya pengajian di sana.

Kata orang, yang datang belajar di sini kalau tanpa tajaan, pastinya anak orang berada yang mampu menampung kos sara hidup yang tinggi di sini.

Tapi, itu tidak mematahkan semangat saya untuk menuntut ilmu di sana. Ulama’ dahulu lebih besar cabaran yang mereka hadapi.

Mungkin juga dengan sebab didikan ayah dahulu yang melatih kami adik beradik untuk berdikari bagi mendapatkan duit, menjadikan saya berani untuk mengambil cabaran ini.

Cara ayah didik kami, kalau mahukan duit belanja kerja dahulu. Diberi kami modal, hasil keuntungan itulah duit belanja untuk kami. Barulah rasa bagaimana susahnya ayah mencari duit.

Jika dihitung perbelanjaan sepanjang hampir 5 tahun saya di sini, rasanya boleh beli sebiji kereta idaman Toyota Vios model terbaru secara cash.

Jika ditanya kepada saya dari mana saya dapat duit untuk menampung perbelanjaan yang serba serbi mahal di sini. (Kalau nak tau cas GST di negara ini 16%, tukaran matawang terkini sebanyak RM6.25 untuk sedinar) Susah untuk saya jawab soalan ini. Saya cuma katakan ia dari Allah.

Tapi, bila saya jawab begitu ramai yang tak puas hati dengan jawapan yang diberikan.

Orang lain, bila kehabisan duit tunggu hujung bulan pihak tajaan masukkan duit atau minta mak ayah masukkan duit. Tapi, saya hanya mampu berdoa dan tawakkal tunggu rezeki dari Allah.

Jangan salah sangka, bukannya saya bertawakkal tunggu rezeki datang bergolek tanpa berusaha. Maksudnya, bila saya usahakan buat bisnes dapat sambutan, cuba memohon bantuan zakat diterima. Saya usahakan juga asbab rezeki itu. Tapi, selebihnya Allah yang beri.

Ok, saya bagi contoh antara bentuk rezeki yang saya terima.

1. Ada satu hari selepas keluar dari masjid, saya terasa lapar dan ingin membeli makanan, tapi nngak punya uang..tiba-tiba datang seorang pakcik tua berambut putih dari belakang menegur saya dan bertanya ” enta maliziy ?”. “Naam” jawab saya. Lalu diberikan sejumlah wang kepada saya. “Leish ?” tanya saya kenapa. Lalu dijawab kerana dia sukakan pelajar Malaysia. (sampai sekarang pikir pakcik ni malaikat ke tiba-tiba muncul)

2. Saya memakai sebuah telefon bimbit yang dibeli dengan harga yang murah untuk berjimat, cukup hanya ada aplikasi yang membolehkan untuk berinteraksi dan berhubung. Pada satu malam di bulan ramadhan selepas solat tarawih, saya singgah di rumah kawan untuk moreh. Lalu, saya dikejutkan dengan satu kotak hadiah yang berisi telefon bimbit baru dihadiahkan oleh kawan-kawan. Sampai sekarang masih guna phone ni.

3. Baru-baru ini, semasa mendapat berita pemergian arwah ayah..dalam hati rasa sedih tak dapat balik untuk melihat wajah ayah buat kali terakhir. Kebetulan waktu tu tengah dalam program dan saya jadi pengarah, saya balik kejap buat solat ghaib dan kembali meneruskan program macam biasa. Tiba-tiba kawan saya datang bagitahu suruh siap-siap untuk balik malam tu jugak, sebab mereka dah belikan tiket untuk saya dan hantar saya sampai ke airport.

Ada lagi cerita yang tak dapat saya selitkan di sini, tunggulah nanti kalau rajin saya tulis buku. (Tak tahu bila keluar buku tu..hehe)

 

17353408_1285402461496517_9162717187634465061_n

 

Hari ini, saya perhatikan anak-anak muda yang baru hendak memulakan hidup terbeban dengan berbagai bentuk hutang. Hutang belajar, kereta, kahwin.

Dalam saya masih belajar, dan tidak mempunyai pendapatan sebegini, saya telah pun melangsungkan perkahwinan semasa di tahun kedua. Dan saya juga telah pun memiliki kereta terpakai sendiri yang dibeli secara tunai. Semuanya tanpa berhutang.

Dan Alhamdulillah, saya juga telah terpilih untuk menunaikan haji tahun depan.

Antara amalan yang saya lazimi sehingga kini ialah saya akan telefon dan bertanya khabar kepada mak seminggu sekali atau dua kali. Tetapi, selepas pemergian ayah saya telefon mak hampir setiap hari supaya mak tidak terasa sunyi.

Dulu semasa mula-mula kerja, saya berikan semua gaji pertama saya dan belikan hadiah kepada mak. Selepas itu untuk bulan-bulan seterusnya, saya bahagikan duit gaji kepada 3. Pertama, untuk mak kedua, tabung haji ketiga, simpanan untuk belajar.

Sewaktu belajar,oleh kerana tak mampu beri duit kepada mak, saya ‘haram’kan diri saya untuk minta duit daripada mak. Sudah terlalu banyak duit mak habiskan untuk membesarkan saya dahulu.

Doa dan redha mak, saya hanya bermodalkan kedua ini sahaja untuk ke mana-mana. Selagi saya berada di bumi Allah, di situ pasti ada rezeki untuk saya.

Begitulah, kalau kita menjaga dan menyenangkan hati mak ayah kita, insya Allah akan dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya untuk kita dari jalan yang tak kita sangka.

Kepada yang masih punya ibu, ambil peluang untuk taat dan berbakti kepada mereka sementara mereka masih ada, kerana ia juga akan menjadi pemberat mizan kita di akhirat kelak.

Mak kita bukannya mahu duit kita sangat pun, mereka hanya mahukan belaian dan perhatian daripada kita sahaja, sepertimana mereka membelai kita sewaktu kecil dahulu.

Kalau nak katakan ini sebagai plan kewangan,
iya, inilah salah satu rahsia plan kewangan saya. Skim pelaburan dunia akhirat. Makin banyak kita memberi (terutama ibu dan keluarga) semakin banyak lagi Allah akan beri.

Prinsip kewangan saya begini :

“Gusti iku sambaten naliko sira lagi nandhang kasangsaran. Pujinen yen sira lagi nampa kanugrahaning Gusti.”

Pengalaman Buat 4 Kerja Dalam Satu Masa

Saya terbaca satu artikel yang mengatakan kadar pengganguran di negara kita meningkat sehingga 3.4%. Ikut kiraan nisbah populasi sekarang, hampir SEJUTA rakyat Malaysia yang menggangur.

Adakah tidak ada peluang pekerjaan atau lambakan pekerja asing yang memenuhi semua sektor pekerjaan di Malaysia ?

Atau kita sendiri yang terlalu memilih kerja dan menunggu kerja yang sepadan dengan sijil kelayakan kita ?

Saya faham kita sudah berhabis banyak wang dan masa untuk mendapatkan sijil bagi mendapatkan pekerjaan yang selayaknya untuk kita.

Zaman sekarang oleh kerana terlalu ramai lambakan graduan, untuk mendapatkan sesuatu jawatan itu peluangnya agak tipis dan persaingan tinggi.

Awak tu baru fresh graduate, lepas tu berangan nak dapat kerja ofis, jawatan tinggi, bergaji besar, memiliki kereta mewah.

Nanti baru lah boleh tunjuk kat kawan-kawan dan orang kampung yang awak tu dah berjaya.

Lupakanlah kawan..

Buatlah apa sahaja kerja, walaupun tidak sepadan dengan sijil yang kita miliki. Ambil pengalaman dahulu dan cipta peluang kerjaya sendiri.

Saya sendiri pernah membuat 4 kerja sekaligus dalam satu masa.

1. Bekerja di pasar segar
2. Bisnes marketing
3. Guru mengaji
4. Menjaga gerai jualan

Setiap kerja yang saya lakukan mempunyai objektif tersendiri, tidak hanya untuk kumpul duit semata-mata. Selain menimba pengalaman, cuba untuk merasai kesusahan mencari rezeki.

Saya bercita-cita untuk membuka syarikat perniagaan sendiri, jadi saya fikir saya perlu bermula dari bawah. Oleh kerana itu saya sanggup berkuli.

Setiap pagi saya akan bangun seawal jam 3.30 pagi, naik motor meredah kesunyian pagi ke pasar. Jualan di pasar sehingga jam 10 pagi.

Di pasar kebanyakan yang menjadi pekerja di situ orang bangladesh. Mereka sangat berdisplin, rajin dan amanah bekerja. Tak hairan lah, yang menjadi supervisor di situ pun orang bangladesh.

Di pasar ini, saya melatih diri untuk tahan lasak kerana terpaksa bangun awal pagi dan angkat barang berat-berat.

Sebelah petang pula, saya buat bisnes pemasaran produk kesihatan ke kedai-kedai di sekitar bandar untuk periksa dan tambah stok.

Bisnes ini meningkatkan lagi skill dalam berinteraksi dan mengenali berbagai ragam pelanggan serta menambahkan lagi jaringan rakan niaga.

Sebelah malam pula, saya mengajar mengaji di sebuah pusat pengajian Al-Quran. Saya memegang kelas remaja berumur 13-16 tahun.

Mengajar di sini, selain sebagai menjalankan tanggungjawab sosial, saya dapat meningkatkan lagi skill mengajar.

Di hujung minggu, saya bekerja menjaga gerai jualan di Masjid Negeri Shah Alam. Dari pagi hingga malam.

Antara sebab saya memilih bekerja di situ kerana faktor suasana yang menenangkan, dan juga dapat menjaga solat di awal waktu. Adakalanya dapat juga berjumpa dan mendengar ceramah daripada asatizah yang hebat-hebat.

Hasil pendapatan saya pada ketika itu, mencapai RM2500-3000 sebulan. Cukuplah bagi orang bujang pada waktu tu.

Waktu itu saya memang berjimat, tak makan di luar, bawak bekal. Tidak menyewa di luar, duduk dengan keluarga. Pakai phone cikai takde kamera selfie. Ke hulu hilir naik motor kapcai.

Selepas beberapa bulan, bila saya rasa dah cukup duit dan pengalaman, terfikir lah untuk buka syarikat perniagaan sendiri.

Tapi, takdir dan aturan Allah lebih baik buat saya ketika itu untuk saya sambung belajar. Dan, saya tak menyesal dengan keputusan saya.

Bagi saya, ilmu itu adalah satu pelaburan. Jika kita kaya tanpa ilmu akan kecundang juga nanti.